Monday, December 5, 2011


Salam ukhwah kembali. Mari kita sambung perbincangan kita berdasarkan isu yang lepas. Muhasabah telah saya bahagikan kepada empat aspek yang perlu dinilai iaitu :-

1.0 Kelemahan

Bermaksud merenung dan mengenang kembali kelemahan yang ada pada diri. Kelemahan ini boleh juga kita katakan dari sudut kemahiran contohnya kurang mahir bahasa Inggeris, kurang mahir berucap di khayalak ramai, dari sudut keupayaan diri seperti takut tengok darah ke, darah gemuruh ke dan lain-lain. Dengan mengenali kelemahan diri, kita mengetahui lompang-lompang dalam diri kita yang mana kalau kita perbaiki, kita akan menjadi orang yang lebih baik dari sebelum ini. Kita juga tak akan melakukan perkara-perkara diluar kemampuan kita terutama sekali dalam keadaan yang memerlukan dan menjadikan kita berani bodoh dan bukan berani yang berstrategi.


2.0 Kekuatan

Bermaksud merenung dan melihat kembali kelebihan dan kekuatan yang ada samada dari sudut kemahiran, nilai diri dan lain-lainseperti contoh anda seorang yang berani bercakap di hadapan orang ramai, anda sangat mahir dalam membaiki peralatan rumah, mahir berkata-kata dan lain-lain. Mengenali kekuatan dan kelebihan diri ini adalah seperti kita mengenali senjata dan kelengkapan yang kita miliki. Ibarat kita nak pergi berperang, semestinya kita mesti tahu keupayaan peralatan kita kerana takut-takut kita melakukan serangan tetapi jarak musuh terlalu jauh dan perluru tak sampai. Bukan ke itu membunuh diri namanya. Oleh sebab itu kita kena kenal kekuatan kita yang jika ianya digandingkan dengan minat, maka sudah pasti ia akan menjadi kemahiran yang sangat bernilai seperti contoh minat kita adalah pada kereta dan kemahiran kita adalah membaiki kereta. Disebabkan minat kita terus teroka cara untuk membaiki pelbagai jenis kereta. Dengan mengenali kekuatan diri juga barulah kita dapat menyusun strategi yang sesuai samada untuk mencapai cita-cita dan lain-lain.


3.0 Peluang

Peluang yang wujud di hadapan kita juga perlu kita kenal pasti seperti contoh kita adalah anak kepada seorang yang berharta, maka sudah pasti kita tiada masalah dari segi kewangan dan peluang untuk membuka perniagaan kerana kelebihan termasuklah kelebihan networking yang ada pada ayahnya. Kebanyakan orang yang berjaya juga melihat masalah sebagai satu peluang untuk menyelesaikan masalah. Masalah dianggap sebagai cabaran dan bukan lagi penghalang. Cabaran perlu diatasi, malasah perlu diselesaikan. Halangan hanyalah suatu mainan minda bagi orang yang tidak mahu melihat peluang yang ada di hadapan.


4.0 Peristiwa Lalu

Muhasabah mengenai peristiwa lalu ini sangat penting untuk kita lihat kembali kerana mungkin ada perkara-perkara atau keputusan-keputusan atau kesilapan-kesilapan yang pernah kita lakukan sebelum ini. Mengenang kembali dengan tujuan untuk mengubah, mengambil iktibar dan melaksanakan perubahan, bukan untuk menyesali dan meratapi semata-mata. Jangan jadikan kesilapan kita yang lalu sebagai bebanan yang menyebabkan kita dah tak boleh maju kehadapan, sedangkan potensi yang kita ada sangat besar. Kenapa kita nak pendamkan semua kelebihan yang kita ada dan tak mahu menggunakan pada jalan kebaikan selamanya disebabkan kesilapan yang lalu yang mungkin sekejap kita lakukan?? Jadikan kesilapan lalu sebagai “driving force” untuk memperbaiki keadaan dan meninggalkan kesalahan dan kesilapan lama kita, dan terus menjadi orang yang lebih baik.


No comments:

Post a Comment